PILIHLAH AKU UNTUK IKHLAS.
Orang yang sibuk melakukan kebaikan tidak akan sempat melihat kejahatan orang lain.Demikian kata-kata hukama yang menergah ruang fikirku.Ah,betapa kurangnya kau melakukan kebaikan ...bisik hati diri sendiri.Jesteru .mata,telinga dan indera yang lain masih sempat melihat,menghidu dan menuturkan kejahatan orang lain.Terasa diri amat hina,ketika usia melonjak dengan begitu cepat,diri terasa masih merangkak-rangkak menyusur jalan taubat.
Bukan mudah untuk ikhlas.Semakin dicari terasa semakin misteri.Memang ,ikhlas itu rahsia dalam rahsia ALLAH.Melakukan sesuatu kebaikan bukan kerana ALLAH ....itu tidak ikhlas.Meninggalkan satu kejahatan bukan kerana ALLAH....itu pun tidak ikhlas.Kekadang begitu ikhlas hati ketika memulakan amal,tetapi sampai di pertengahan,kecundang oleh sesuatu yang selain ALLAH.YA ALLAH aku benar-benar pasrah.Perjuangan untuk ikhlas terlalu seru dan keliru.Bantu aku memahami dan menangani rahsia ini.
Beribadah lah sehingga terasa penat untuk melakukan maksiat.Begitu pesan hukama yang menjadi kopmas hati.Buatlah apa saja kebaikan sejak sebelum terbit fajar sehingga terbenam mentari.Ikhlas atau tidak jangan diperkirakan dulu.Jangan mengukur kesempurnaan di garis permulaan amal.Beramallah walau hati terganggu oleh mazmumah dan ikhlas diintai oleh riak dan sum'ah.Pedulikan ujub yang menanti masa untuk menyusup.Tega dan relakan sahaja.
Teringat apa yang dipesan oleh Imam Ghazali ketika muridnya bertanya ,"Tuan,begaimana keadaanku ketika mulutku berzikir tetapi hatiku masih lalai ?" Lalu Imam yang arif dalam soal keajaiban hati itu pun berkata,'Teruskanlah berzikir walau hatimu lalai kerana sekurang-kurangnya lidahmu akan terselamat daripada berkata-kata yang kotor dan sia-sia.
Teringat pula apa yang pernah ditanyakan oleh Abu Hurairah kepada Nabi Muhammad SAW tentang seorang yang mengerjakan solat tetapi masih mencuri.Lalu Rasulullah menegaskan solat itu lambat laun akan menghilangkan tabiatnya yang buruk itu.Jadi,jadi jika dirimu masih melakukan kejahatan,ingatlah itu bukan alasan untuk tidak dan berhenti melakukan kebaikan.Bahkan iringilah perbuatan dosa dengan kebaikan kerana kebaikan itu lambat cepat akan menghapuskan kejahatan.
Aku hanya insan kerdil.....namun aku juga hamba ALLAH ......Ketika aku keliru ,tunjukkanlah.Ketika aku lemah,perkukuhkanlah.Ketika alpa ingatkanlah.Hanya Dikau wahai ALLAH yang berhak memilih siapa untuk dianugerahi rahsia ikhlas itu.Padaku hanya tadbir...pada-MU segala takdir.Bantulah aku meluruskan tadbirku menjurus kepada tekdir-MU.Pilihlah aku untuk ikhlas...Amin!
oleh:PAHROL MOHAMAD JUOI
No comments:
Post a Comment